KUALA LUMPUR – Keputusan bedah siasat ke atas mayat Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal mengesahkan punca kematian mangsa adalah disebabkan trauma tumpul di bahagian kepala.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar mengesahkan prosedur berkenaan dijalankan oleh pakar patologi Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat.
“Seorang remaja lelaki berumur 16 tahun telah ditangkap pada Sabtu lepas.
“Permohonan reman terhadap suspek dibenarkan selama enam hari sehingga 9 Oktober bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Kumar, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Pihak sekolah serta Kementerian Pendidikan memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis dalam siasatan kes itu.
“Polis turut memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara menyeluruh, telus dan profesional tanpa sebarang elemen ‘cover-up’ atau melindungi mana-mana pihak,” katanya.
Menurut beliau, kes masih di peringkat siasatan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi atau memberi sebarang komen yang boleh mengganggu proses siasatan atau memanipulasi fakta dengan tujuan menyebabkan kegusaran kepada masyarakat.
Media sebelum ini melaporkan Irene Sofiya ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa dengan kecederaan parah pada muka dan badan di sebuah dewan sekolah di Yong Peng, Batu Pahat, kelmarin.
Irene ditemui neneknya yang datang ke sekolah berkenaan selepas menyedari cucunya tidak pulang ke rumah kira-kira 5.30 petang.
Seorang remaja lelaki berumur 16 tahun yang juga rakan sekelas mangsa direman enam hari bermula semalam, bagi membantu siasatan kes kematian Irene Sofiya.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata, suspek ditahan di sekitar Yong Peng, kira-kira sejam selepas polis menerima maklumat kejadian.-MalayaDailyToday




















































