WASHINGTON – Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX, Elon Musk mengumumkan akan menjenamakan semula unit kecerdasan buatan (AI) syarikatnya, SpaceXAI kepada SpaceXSI.
Ia susulan perintah eksekutif ditandatangani Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mahu AI dirujuk sebagai `Super Intelligence’ atau SI.
Musk mengumumkan penjenamaan semula unit AI syarikatnya menerusi platform X bagi membalas pertanyaan seorang pengguna media sosial berhubung kemungkinan menukar nama SpaceXAI kepada SpaceXSI.
“Ya, kami akan melakukan perubahan itu,” balas Musk dalam hantarannya.
Menerusi hantaran berasingan, Musk juga menegaskan penggunaan istilah AI tidak lagi akan digunakan dan digantikan dengan SI yang dianggapnya lebih baik.
Bagaimanapun, sehingga kini, akaun X milik SpaceXAI masih menggunakan nama sedia ada dan belum memaparkan sebarang perubahan.
Bulan lalu, media antarabangsa melaporkan Trump menandatangani perintah eksekutif yang mengarahkan kerajaan persekutuan menggantikan istilah AI dengan ‘super intelligence’ atau ‘SI’ dalam komunikasi rasmi cabang eksekutif.
Melalui perintah itu, jabatan dan agensi persekutuan diarah menggunakan istilah ‘super intelligence’ dan ‘SI’ dalam surat-menyurat rasmi, komunikasi awam, dokumen dasar serta bahan lain yang tidak bersifat perundangan.
Agensi berkenaan turut diarah tidak lagi menggunakan istilah ‘artificial intelligence’ (kecerdasan buatan) dan ‘AI’ dalam bahan terbabit.
Perintah itu juga mengarahkan Pembantu Presiden bagi Sains dan Teknologi menyediakan cadangan definisi persekutuan bagi ‘super intelligence’ dan ‘SI’ yang mencerminkan ‘sempadan teknologi yang terus berkembang’.
Trump dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) mengesahkan semua dokumen rasmi negaranya akan menggunakan istilah yang disifatkannya lebih tepat.
“Mulai sekarang, semua dokumen AS dan diharapkan juga seluruh dunia, akan diubah untuk menggunakan istilah yang jauh lebih tepat iaitu ‘super’ berbanding ‘artificial’. Jadi, ia adalah ‘super intelligence’,” katanya.-MalayaDailyToday





















































