JOHOR BAHRU – Sebuah kedai di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC), Hutan Bandar di sini, dipecah masuk kelmarin, dengan suspek melarikan sebuah papan selaju atau skateboard.
Kejadian itu dipercayai berlaku selepas suspek memecahkan cermin pada pintu belakang premis sebelum masuk ke dalam kedai berkenaan.
Media melaporkan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kelmarin.
Hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada awal pagi apabila suspek bertindak memecahkan cermin pintu belakang premis.
“Suspek kemudian mengambil sebuah skateboard sebelum melarikan diri,” katanya.
Jelas beliau, polis sedang giat mengesan individu berkenaan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 453 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Kelab Skateboard Selatan dalam satu hantaran di Instagram memaklumkan kejadian pecah masuk berlaku di premis ksshub di TMIYC pada 30 September lalu.
Jelasnya, laporan polis telah dibuat dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sudah disemak.
Menurut kelab itu, perkara tersebut kini dalam tindakan pihak berkuasa.
“Kepada individu yang dipercayai terlibat dalam kejadian ini, kami menasihatkan supaya tampil dan menyerah diri ke balai polis bagi membantu siasatan.
“Kami berharap perkara ini dapat diselesaikan melalui saluran undang-undang dan kerjasama semua pihak,” jelasnya.
Rakaman CCTV dikongsikan pihak kedai menerusi media social menunjukkan seorang lelaki memasuki premis berkenaan sebelum mengambil sesuatu.
Dalam salah satu rakaman, lelaki terbabit turut dilihat bersembunyi seketika di dalam kedai dipercayai selepas menyedari bunyi atau kehadiran individu lain.
Suspek kemudiannya dilihat keluar dari premis berkenaan dan meninggalkan lokasi dalam keadaan bersahaja.-MalayaDailyToday
























































