KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) sejak semalam bagi tujuan pemerhatian kesihatan.
Memetik laporan media, anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir berkata, keadaan bapanya ketika ini adalah baik dan tidak membimbangkan, namun keputusan untuk memasukkannya ke IJN dibuat bagi membolehkan beliau diberi perhatian susulan pemergian Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali kelmarin.
“Beliau dimasukkan ke IJN untuk pemerhatian. Dua hari lepas sangat menekan Tun M. Buat masa ini, beliau okey dan tidak dalam keadaan yang merisaukan,” katanya.
Terdahulu dilaporkan Tun Dr. Mahathir dimasukkan ke IJN selepas keadaan kesihatannya dikesan sedikit merosot selepas Majlis Tahlil dan Solat Isyak di rumahnya di The Mines, Seri Kembangan.
Bagaimanapun, pagi ini keadaan beliau dilaporkan berada dalam keadaan stabil
Isnin lalu, Tun Dr. Hasmah, meninggal dunia di IJN pada usia 100 tahun dan meninggalkan tujuh anak.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan dengan penuh Istiadat Pengebumian Pembesar Negara di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya.
Istiadat pengebumian itu diketuai Kapten Ahmad Saufi Md. Isa dari Markas Tentera Darat selain disertai lapan pegawai daripada gabungan Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).-MalayaDailyToday



























































