PUTRAJAYA – Kualiti udara di Putrajaya merosot ke tahap tidak sihat selepas Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan bacaan 155 setakat jam 9.51 pagi Selasa, sekali gus menjadikan pusat pentadbiran kerajaan itu antara 31 stesen pemantauan yang terjejas di seluruh negara.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), sebanyak 31 daripada 68 stesen pemantauan kualiti udara nasional merekodkan bacaan pada julat tidak sihat (101 hingga 200).
Putrajaya berada di kedudukan ke-17 dalam senarai kawasan terjejas, manakala stesen Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian di Sarawak mencatatkan bacaan tertinggi seluruh negara iaitu 175, diikuti Pasir Gudang (170) dan Larkin (169) di Johor.
Fenomena jerebu berkenaan turut menjejaskan beberapa kawasan utama di Lembah Klang termasuk Johan Setia yang merekodkan IPU 163, Cheras (159), Shah Alam (157), Klang (154) dan Petaling Jaya (136).
Pihak berkuasa mengelaskan bacaan IPU antara 0 hingga 50 sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan melebihi 300 sebagai berbahaya. -MalayaDailyToday



























































