KUALA LUMPUR – Abang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Idrus Ibrahim dilaporkan meninggal dunia hari ini.
Berita duka itu dikongsikan Anwar dalam satu hantaran di Facebook, petang tadi.
“Dalam perjalanan pulang ke Malaysia, saya menerima khabar yang meruntun jiwa bahawa abang saya, Idrus Ibrahim, telah pergi buat selama-lamanya.
“Sukar untuk saya ungkapkan rasa kehilangan ini apabila seorang sosok yang berkongsi begitu banyak kenangan sepanjang perjalanan hidup kini telah tiada, dan hanya Allah SWT yang tahu betapa beratnya hati menerima kenyataan ini.
“Terkilan kerana tidak sempat berada di sisi pada saat-saat akhirnya, namun saya reda meski hati ini masih cuba menerima sebuah perpisahan yang tidak pernah kita bersedia untuk hadapi,” katanya.
Dalam hantaran yang sama, Anwar turut berterima kasih atas segala kenangan serta kebaikan yang ditinggalkan Allahyarham dan semuanya akan kekal terpahat dalam ingatan dan hati keluarganya.
“Mohon teman-teman titipkan doa buat Allahyarham Idrus Ibrahim, semoga Allah SWT mengampuni segala khilafnya, melimpahkan rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh,” katanya.-MalayaDailyToday
























































