KUALA LUMPUR – Jabatan Penjara Malaysia masih menunggu pemakluman rasmi secara bertulis berhubung pelaksanaan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sebelum sebarang tindakan lanjut bagi melaksanakan keputusan berkenaan dapat ditentukan.
Jabatan Penjara dalam satu kenyataan memaklumkan sebarang pemakluman dan dokumen rasmi berkaitan keputusan Lembaga Pengampunan akan disampaikan melalui saluran rasmi yang sewajarnya sebelum dikemukakan kepada jabatan itu untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, perkara berkenaan selaras dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semalam bahawa kementerian dan jabatan berkenaan masih menunggu pemakluman rasmi secara bertulis.
“Jabatan Penjara sentiasa bersedia untuk melaksanakan sebarang arahan rasmi yang diterima daripada pihak berkuasa berkenaan.
“Ia selaras peruntukan undang-undang, peraturan penjara serta tatacara dan prosedur sedang berkuat kuasa,” jelas jabatan itu.
Menurut jabatan itu lagi, sebarang keputusan atau arahan yang diterima akan dilaksanakan secara teratur, profesional dan berintegriti.
“Oleh itu, Jabatan Penjara menyeru semua pihak supaya merujuk kepada sumber rasmi dan tidak membuat sebarang spekulasi mengenai pelaksanaan keputusan berkenaan,” jelasnya.
Jumaat lalu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri menerusi kenyataan memaklumkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah memperkenan pengampunan bersyarat kepada Najib.
Najib mendapat pengampunan bersyarat dengan beliau perlu menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 tertakluk sekiranya membayar denda RM50 juta.
Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64.-MalayaDailyToday
























































