MOSCOW: Sekurang-kurangnya dua orang terbunuh dan enam lagi cedera dalam serangan dron besar-besaran yang dilancarkan Ukraine ke atas wilayah Rusia.
Media antarabangsa melaporkan Gabenor wilayah Moscow, Andrei Vorobyev mengesahkan mangsa membabitkan seorang wanita berusia 44 tahun dan lelaki warga emas yang maut di dua lokasi berasingan.
Menurut Vorobyev, wanita itu terbunuh apabila sebuah dron terhempas ke sebuah bangunan kediaman tiga tingkat.
Dalam kejadian itu, katanya, lima lagi orang termasuk dua kanak-kanak juga tercedera.
Vorobyev berkata, lelaki warga emas itu meninggal dunia selepas kediamannya diserang dron di daerah Orekhovo-Zuevo.
Dalam pada itu, Vorobyev memaklumkan sebanyak 249 dron telah ditembak jatuh.
Malah, katanya, serangan dron itu juga menyebabkan kebakaran di beberapa buah kediaman penduduk, selain sebuah gudang penyimpanan barang juga terbakar.
Di Moscow, sebuah loji penapisan minyak utama mengalami keroskan akibat serangan ratusan dron yang menyasarkan ibu negara itu dan wilayah sekitarnya pada hari terakhir Pilihan Raya Parlimen Rusia.
Datuk Bandar Moscow, Sergei Sobyanin berkata, sebuah dron membedil bangunan berhampiran salah satu jalan raya di ibu negara, selain sebuah kemudahan di loji penapisan minyak turut mengalami kerosakan.
Katanya, lebih 1,600 dron berjaya dipintas dan ditembak jatuh yang mana 450 daripadanya menyasarkan Moscow.
Sementara itu, seorang pegawai Ukraine memaklumkan sekurang-kurangnya lapan orang termasuk tiga kanak-kanak terbunuh dalam serangan Rusia di wilayah Kyiv dan Sumy.
Serangan itu berlaku ketika Kyiv meningkatkan kempen serangan dron jarak jauh terhadap Rusia sejak beberapa bulan kebelakangan ini, terutama ke atas fasiliti tenaga bertujuan menjejaskan sumber pendapatan penting Kremlin untuk membiayai usaha perang yang sudah memasuki tahun kelima.
Serangan terbaharu itu menyusul selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sebelum ini berkata, Ukraine dan Rusia telah bersetuju untuk tidak saling menyasarkan fasiliti tenaga.
Insiden itu juga berlaku selepas proses pengundian oleh rakyat Rusia bermula Jumaat lalu dalam Pilihan Raya Parlimen yang pertama sejak Moscow menghantar tentera ke Ukraine pada Februari 2022.-MalayaDailyToday


























































