KUALA LUMPUR – DAP akan menentukan pendirian dan tindakan susulan parti berhubung keputusan pengampunan bersyarat terhadap Datuk Seri Najib Razak dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) esok.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, mesyuarat itu akan membincangkan perkembangan berkenaan termasuk pendirian parti berkaitan keputusan Yang di-Pertuan Agong.
Menurutnya, DAP pada masa sama menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
“DAP sentiasa menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan dan Keluhuran Perlembagaan, di samping mempertahankan kedaulatan undang-undang serta perjuangan menentang rasuah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Loke berkata, DAP sejak awal konsisten menuntut keadilan dan akauntabiliti berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), termasuk supaya penyelewengan disiasat secara menyeluruh dan mereka yang bertanggungjawab dibawa melalui proses undang-undang yang bebas serta adil.
Beliau berkata, sabitan terhadap Najib dalam kes berkaitan 1MDB merupakan kesalahan yang telah diputuskan mahkamah dan kesannya terhadap negara tidak boleh dilupakan.
Menurutnya, kesan kewangan skandal itu masih ditanggung kerajaan dan rakyat sehingga kini.
Beliau merujuk kenyataan Kementerian Kewangan pada 13 September lalu yang menyatakan keseluruhan obligasi 1MDB yang ditanggung kerajaan berjumlah RM51.4 bilion, termasuk RM42.5 bilion yang telah dibayar dan baki hutang RM8.9 bilion.
“Skandal penyelewengan 1MDB merupakan skandal rasuah yang terbesar dalam sejarah negara kita.
“Skandal ini telah mengaitkan nama Malaysia dengan kleptokrasi di mata dunia, mencemarkan imej negara serta menghakis kepercayaan rakyat dan pelabur terhadap institusi pentadbiran negara,” katanya.
Dalam pada itu, Loke berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh telah menyampaikan pendirian dan pandangan yang selaras dengan prinsip perjuangan DAP ketika menjalankan tanggungjawab sebagai anggota Lembaga Pengampunan.
Katanya, seperti yang dijelaskan Hannah, pandangan berkenaan disampaikan secara jujur dan berterus terang demi kepentingan negara.
Loke berkata DAP juga tidak melupakan kemarahan rakyat terhadap skandal 1MDB yang menurutnya antara faktor utama membawa kepada perubahan kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.
“Amanah rakyat untuk menentang rasuah dan penyalahgunaan kuasa akan terus menjadi pegangan DAP,” katanya.
Sehubungan itu, mesyuarat CEC esok dijangka menjadi platform untuk DAP membincangkan perkembangan terbaru berhubung pengampunan Najib serta menentukan pendirian dan tindakan susulan parti. -MalayaDailyToday
























































