KUALA LUMPUR – Usaha menghapuskan kemiskinan tegar dijangka menjadi antara legasi terbesar Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila beliau tidak lagi memegang jawatan Perdana Menteri kelak, kata Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.
Beliau menegaskan bahawa usaha kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Anwar kini semakin hampir mencapai sasaran, dengan perkembangan positif direkodkan di beberapa buah negeri sehingga mencapai tahap sifar kemiskinan tegar.
Hassan berkata, komitmen Anwar terhadap isu kebajikan rakyat miskin merupakan agenda yang diperjuangkan sejak sekian lama, termasuk ketika beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kem Kamunting, Taiping, Perak berikutan peristiwa membela nasib rakyat miskin di Baling, Kedah.
“Perdana Menteri atau presiden sesebuah negara lazimnya dikutuk, dikritik dan dibenci. Jarang yang dipuji dan disanjung semasa hidupnya.
“Jika pemimpin itu telah jatuh atau jadi orang biasa-biasa atau merengkok dalam penjara atau telah mati, barulah jasanya dikenang dan visinya mulai jelas kelihatan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut, Hassan turut membuat perbandingan dengan kepimpinan mantan Presiden Amerika Syarikat, John F Kennedy, yang komitmen dan visi pentadbirannya tetap direalisasikan serta dikenang masyarakat dunia walaupun selepas beliau meninggal dunia.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Malaysia untuk mengecam ikrar pembasmian kemiskinan tegar berkenaan menjelang sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini sebagai satu pencapaian negara yang signifikan.
Tambah beliau, Anwar berkemungkinan memegang jawatan Perdana Menteri untuk sepenggal lagi sekiranya diberi mandat, meskipun terpaksa berdepan pelbagai cabaran dan saingan politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang. -MalayaDailyToday
































































