JOHOR BAHRU – Johor merekodkan sebanyak 9,954 kes denggi sehingga Minggu Epidemiologi (ME) 34 tahun ini, meningkat 131.3 peratus berbanding 4,304 kes bagi tempoh sama tahun lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon, berkata daripada jumlah itu, 4,520 kes atau 45.4 peratus dilaporkan di lokaliti wabak, manakala 5,434 kes atau 54.6 peratus membabitkan lokaliti bukan wabak.
Beliau berkata bagi ME34 sahaja, sebanyak 664 kes denggi dilaporkan, meningkat dua peratus berbanding 651 kes pada minggu sebelumnya.
“Daripada jumlah kes denggi yang dilaporkan sepanjang ME34, sebanyak 308 kes atau 46.4 peratus dicatatkan di lokaliti wabak, manakala 356 kes atau 53.6 peratus di lokaliti bukan wabak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ling berkata Johor Bahru mencatatkan jumlah kes tertinggi pada minggu berkenaan iaitu 495 kes atau 74.6 peratus daripada keseluruhan kes, diikuti Kulai (120), Batu Pahat (19), Segamat (sembilan), Kota Tinggi (tujuh), serta Muar dan Pontian masing-masing empat kes.
Sementara itu, sebanyak 13 kematian akibat denggi direkodkan sehingga ME33 tahun ini berbanding lapan kematian bagi tempoh sama pada 2025, meningkat 62.5 peratus.
Beliau berkata sebanyak 3,745 kompaun bernilai RM1.87 juta telah dikeluarkan menerusi aktiviti penguatkuasaan sepanjang tahun ini, dengan 80.2 peratus daripadanya telah dibayar. -MalayaDailyToday

































































