KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya tindakan disiplin terhadap mana-mana mahasiswa yang dikenakan hukuman semata-mata kerana menyuarakan pandangan atau mengkritik pimpinan negara dilepaskan serta-merta.
Anwar menegaskan bahawa institusi pengajian tinggi (IPT) sepatutnya berfungsi sebagai medan ilmu, pemikiran, dan perbahasan bebas yang selari dengan kepesatan dunia pendidikan serta kemajuan teknologi semasa.
“Negara tidak boleh terus bergerak dengan kerangka lama sedangkan dunia pendidikan, ilmu, dan teknologi berubah begitu pantas yang menuntut langkah berani dalam melakukan perubahan yang besar dan berani,” katanya.
Teguran keras berkenaan disampaikan beliau ketika menghadiri Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 13 di Universiti Malaya, malam tadi. -MalayaDailyToday































































