KUALA LUMPUR – Kewujudan penempatan haram yang didakwa didiami warga asing di Segambut sehingga berlarutan lebih sedekad menimbulkan persoalan terhadap peranan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, kata Ketua Pemuda MCA Wilayah Persekutuan, Mike Chong Yew Chuan.
Beliau berkata, isu berkenaan kembali menjadi perhatian selepas tular sebuah video di media sosial yang memaparkan kewujudan penempatan haram berskala besar di kawasan itu, selain didakwa telah menerima notis pengusiran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak 10 tahun lalu.
Menurutnya, memandangkan Hannah telah menjadi Ahli Parlimen Segambut sejak 2018, timbul persoalan sama ada beliau mengetahui mengenai kewujudan penempatan tersebut dan mengapa tindakan penyelesaian tidak dilaksanakan lebih awal.
“Jika DBKL telah mengeluarkan notis pengusiran sejak 10 tahun lalu, maka jelas penempatan ini bukanlah isu baharu.
“Dakwaan penduduk bahawa aduan mereka tidak diberikan perhatian juga menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan tindakan yang diambil selama ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Mike berkata, kegagalan menyelesaikan isu yang telah lama dibangkitkan oleh penduduk tempatan mencerminkan kelemahan tadbir urus serta kurangnya inisiatif untuk menangani masalah berkenaan.
Beliau turut merujuk kepada satu lagi video yang tular melibatkan dakwaan kewujudan penempatan haram di Kampung Padang Balang, Kuala Lumpur, yang menurutnya menambah kebimbangan orang ramai terhadap isu pencerobohan dan penempatan tanpa kelulusan.
Katanya, meskipun isu itu telah hangat diperkatakan sejak beberapa hari lalu, Hannah yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) dilihat masih belum mengemukakan penjelasan terbuka atau mengumumkan pelan tindakan menyeluruh.
“Tiada penjelasan terbuka, tiada pelan tindakan yang dibentangkan dan tiada operasi besar-besaran yang diumumkan.
“Ke mana perginya ketegasan yang sering dibawa sebelum memegang jawatan sebagai menteri apabila berdepan isu yang memberi kesan langsung kepada warga Kuala Lumpur?” katanya.
Beliau berkata, kewujudan penempatan tanpa kelulusan bukan sahaja menjejaskan imej bandar raya, malah didakwa menimbulkan pelbagai masalah kepada penduduk setempat termasuk lambakan sampah, pencemaran kumbahan, risiko kebakaran dan kebimbangan berkaitan keselamatan.
Menurutnya, penduduk Kuala Lumpur yang mematuhi undang-undang serta menanggung kos sara hidup yang tinggi tidak seharusnya dibebankan dengan masalah yang berlarutan tanpa penyelesaian.
Mike berkata, jawatan Menteri Wilayah Persekutuan menuntut tindakan yang tegas, proaktif dan berupaya menyelesaikan isu akar umbi, bukannya sekadar bersifat pentadbiran.
“Sekiranya Hannah Yeoh yang juga Timbalan Setiausaha Agung DAP tidak mampu menyelesaikan krisis penempatan haram di kawasannya sendiri serta terus berdiam diri terhadap keluhan warga kota, maka tidak keterlaluan untuk mengatakan beliau gagal memainkan peranannya.
“Rakyat Kuala Lumpur sudah penat mendengar alasan. Apa yang mereka mahukan sekarang ialah tindakan yang nyata,” katanya. -MalayaDailyToday




























































