PULAU PINANG – Sebanyak RM70 juta pembiayaan menerusi Pakej Modal Usahawan dan Rangsangan Ekonomi India 2026 (MUDRA) telah diluluskan kepada hampir 2,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) komuniti India di seluruh negara setakat ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, jumlah itu adalah sebahagian daripada peruntukan keseluruhan melebihi RM220 juta yang diumumkan kerajaan bagi memperkasa pembangunan ekonomi dan keusahawanan masyarakat India.
Menurut beliau, kerajaan komited memastikan pembangunan sektor PMKS dilakukan secara lebih inklusif supaya tiada komuniti tercicir daripada arus pembangunan ekonomi negara.
“Kerajaan mahu memastikan usahawan kecil tidak tercicir daripada arus pembangunan ekonomi negara.
“Melalui agensi seperti TEKUN Nasional, akses kepada pembiayaan dapat dipermudah supaya lebih ramai rakyat mampu memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Karnival Jualan serta Sesi Libat Urus Usahawan MAICCI bersama agensi-agensi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sempena sambutan Hari Ibu di sini hari ini.
Program anjuran Malaysian Associated Indian Chambers of Commerce and Industry (MAICCI) itu menghimpunkan kira-kira 30 usahawan tempatan dan 10 reruai agensi di bawah KUSKOP bagi membuka peluang jaringan perniagaan, khidmat nasihat serta akses pembiayaan kepada usahawan setempat.
Dalam majlis sama, Steven Sim turut menyerahkan cek cura kepada tiga usahawan yang menerima pembiayaan mikro menerusi Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) di bawah TEKUN Nasional.
Antara penerima terbabit ialah Komalatha G. Raman dari Jelutong yang menerima pembiayaan RM100,000 bagi perniagaan Megas Enterprise.
Turut menerima pembiayaan ialah Vengadeswary Subramaniam dari Nibong Tebal untuk perniagaan Vnz Classy Beauty sebanyak RM20,000 serta Amutha Nadaraja dari Nibong Tebal yang menerima RM18,000 bagi NST Amutha Enterprise.

Menurut Steven Sim, usaha memperkukuh ekosistem keusahawanan bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan isi rumah dan membuka peluang pekerjaan baharu, malah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri serta negara secara keseluruhan.
Katanya, TEKUN Nasional sebagai agensi di bawah KUSKOP memainkan peranan penting dalam membantu usahawan mikro mendapatkan akses pembiayaan yang lebih mudah dan inklusif.
Beliau berkata, langkah itu juga penting bagi membantu PMKS berdepan cabaran ekonomi semasa termasuk ketidaktentuan geopolitik dunia serta krisis bekalan global. -MalayaDailyToday


























































