KUALA LUMPUR – Pengasas syarikat penerbangan murah, AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes melahirkan kesedihan dan terkejut dengan pemergian mantan Pengerusi AirAsia, Datuk Pahamin hari ini.
Pahamin disifatkan Tony sebagai salah seorang Pengasas Bersama AirAsia yang asal.
“AirAsia tidak akan wujud tanpa Datuk Pahamin Rajab. Pahamin adalah rakyat Malaysia yang hebat, seorang patriot sejati dan sahabat terbaik.
“Walaupun kami tidak lagi kerap bertemu, beliau sentiasa berhubung dan penyokong yang hebat,” katanya di laman sosial Instagram miliknya sebentar tadi.
Allahyarham yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dilaporkan meninggal dunia di dalam pesawat ketika menuju ke United Kingdom (UK) malam tadi.
Kata Tony lagi, AirAsia akan mengadakan penghormatan bersesuaian kepada Pahamin.
“Berehat dengan tenang wahai sahabat. Ingatan terhadapnya akan diteruskan di dalam diri cucunya, Kasih Iris Leona yang ‘bapak borek, anak rintik’ dan akan membawa AirAsia ke tahap lebih tinggi,” katanya
Discussion about this post