KUALA LUMPUR – Satu lagi kes buli membabitkan pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), kali ini melibatkan seorang pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) UPNM didakwa mencederakan rakan pelatih junior dengan memijak perut memakai ‘spike boot’.
Bagaimanapun ketika prosiding pendakwaan di Mahkamah Majistret di sini, tertuduh, Mohd Adil Mat Awang Ghani mengaku tidak bersalah mencederakan Muhammad Haziq Iqbal Ahmad Rashidi.
Mohd Adil menjawab ‘saya faham (tuduhan) dan saya tidak mengaku salah’ selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim.
Dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Muhammad Haziq pada jam kira-kira 10.45 malam, pada 21 Oktober lalu, mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.
Tertuduh yang diwakili peguam Nurul Diyana Basher daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) bagaimanapun memohon tertuduh dikenakan jaminan rendah dengan alasan walaupun anak guamnya sudah tamat belajar, dia masih menjalani latihan.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Noorelynna membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dimohon pendakwaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 10 Februari depan untuk serahan dokumen. -MalayaDailyToday