KUALA LUMPUR – Polis tidak menolak kemungkinan wujudnya elemen penderaan amang seksual dan buli dalam insiden empat pelajar tahfiz di Dato Keramat di sini yang hilang sejak Isnin lepas sebelum ditemui di Bangi, Selangor semalam.
Keempat-empat mangsa itu dipercayai telah melarikan diri setelah tidak ‘tahan’ didera di pusat tahfiz itu.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, pihaknya sudah membuka dua kertas siasatan berkait amang seksual dan penderaan.
Katanya, pemeriksaan pihak hospital menemui kesan kecederaan lebam pada tubuh badan keempat-empat kanak-kanak berusia 13 tahun sehingga 14 tahun.
“Ada kesan lebam itu dipercayai diperoleh semasa mangsa berada di pusat tahfiz tersebut. Pemeriksaan awal mendapati terdapat kecederaan dan ia dipercayai berlaku pada tempoh masa mereka berada di pusat tahfiz tersebut.
“Ini isu kanak-kanak, kita akan siasat dengan teliti semua dakwaan adanya penderaan selain diperlakukan secara seksual,” katanya kepada media hari ini.
Tambah beliau, kesemua kanak-kanak itu baru sahaja menuntut di pusat tahfiz berkenaan kurang satu tahun.
“Kita tidak tolak kemungkinan mereka dibuli namun akan menjalankan siasatan dengan teliti sebelum tindakan seterusnya diambil. Setakat ini, kita sudah rakam keterangan daripada pihak tahfiz tersebut serta mangsa.
“Mangsa-mangsa ini mendakwa melarikan diri sebab tidak tahan dengan apa berlaku di pusat tahfiz itu. Tapi kita masih siasat,” ujarnya.
Dua kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. -MalayaDailyToday
Discussion about this post