October 15, 2024
#BERITA

Timbalan Menteri Kewangan cuti sakit, kembali sehari sebelum Belanjawan 2025

PUTRAJAYA – Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, mengambil cuti sakit selama sembilan hari bermula Selasa lalu sehingga 16 Oktober selepas menjalani pembedahan dikendalikan pakar perubatan hospital kerajaan 4 Oktober lalu.

Pejabat Timbalan Menteri Kewangan dalam kenyataan hari ini, memaklumkan keputusan mengambil cuti sakit itu berdasarkan nasihat doktor bagi memastikan beliau dapat kembali sihat dan sejahtera.

“Pada 4 Oktober 2024, Timbalan Menteri Kewangan telah menjalani pembedahan dan kini sedang menjalani proses pemulihan di kediaman beliau.

“Pembedahan berjaya dilaksanakan oleh pakar-pakar perubatan hospital kerajaan. Timbalan Menteri Kewangan dimaklumkan akan pulih sepenuhnya dalam tempoh yang ditetapkan.

Walaupun diberikan cuti sakit rasmi sehingga awal November, Timbalan Menteri Kewangan tetap komited untuk kembali bertugas pada 17 Oktober 2024.

“Ini bertepatan dengan bermulanya Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga, Parlimen Ke-15 serta sesi pembentangan Belanjawan 2025,” menurut kenyataan itu. -MalayaDailyToday

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Malayadailytoday