September 14, 2024
#MAHKAMAH / JENAYAH

Lelaki ekori wanita di JB telah dicekup

JOHOR BAHRU – Polis DIraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan seorang lelaki warga asing disyaki mengekori kenderaan yang dipandu seorang wanita yang tular di media sosial Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mendedahkan, pihaknya menerima satu rakaman video tular di media sosial tentang seorang wanita warga tempatan diekori oleh sebuah kereta dipandu seorang lelaki.

Katanya sepasukan polis dari unit ronda selatan (URS) Balai Polis Majidee telah mengesan dan menahan suspek semalam.

“Suspek yang juga seorang warganegara asing berusia 35 tahun disyaki terlibat dalam kejadian mengekori dan mengganggu pemandu wanita itu.

“Kita juga dapati suspek didapati telah melakukan kesalahan iaitu tinggal lebih masa di negara ini,” katanya dalam kenyataan.

Suspek telah ditahan reman selama 14 hari mulai 23 Ogos hingga 5 September untuk siasatan lanjut.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman jika sabit kesalahan denda tidak kurang RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Selain itu kata Raub, kes turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman jika disabit kesalahan boleh dihukum denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun. -MalayaDailyToday

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *