September 2, 2024
#MAHKAMAH / JENAYAH

SPRM tahan pasangan suami isteri salah guna kuasa untuk projek

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu menahan sepasang suami isteri disyaki menyalahgunakan jawatan dalam sebuah agensi untuk mendapatkan projek pembekalan bernilai lebih RM200,000.

Menurut sumber, lelaki terbabit ditahan di pejabatnya kira-kira 12 tengah hari, manakala isterinya ditahan kira-kira 1 tengah hari di kediaman pasangan berkenaan.

Difahamkan siasatan awal mendapati pasangan itu dipercayai melakukan perbuatan berkenaan sekitar 2022 hingga 2023 membabitkan beberapa jenis kerja pembekalan berbeza.

“Suspek lelaki yang bertugas di sebuah agensi di negeri ini disyaki menggunakan jawatannya dengan mencadangkan sebut harga milik untuk syarikat isterinyi.

“Ini bagi mendapat kerja-kerja pembekalan di tempat kerjanya yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM200,000,” katanya.

Sementara itu Pengarah SPRM Terengganu Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan pasangan suami isteri berusia sekitar 30-an itu dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.

Hazrul Shazreen berkata pasangan suami isteri itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu esok untuk permohonan reman dan pihaknya tidak menolak kemungkinan terdapat tangkapan susulan berhubung kes berkenaan. -MalayaDailyToday

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Malayadailytoday