September 3, 2024
#MAHKAMAH / JENAYAH #UTAMA

Ibu, bapa Zayn Rayyan didakwa abai anak

KUALA LUMPUR – Ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya terhadap pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autisme itu dengan cara yang boleh menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal, tahun lalu.

Bagaimanapun ketika pertuduhan dibacakan, kedua-dua tertuduh iaitu Zaim Ikhwan Zahari (tertuduh pertama) dan Ismanira Abdul Manaf mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada jam 12 tengah hari, 5 Disember hingga jam 9.55 malam, 6 Disember.

Pasangan berusia 29 tahun itu sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas pertuduhan membunuh kanak-kanak autisme itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ku Hayati Ku Haron dan Ahmad Zuhaini Mahamad Amin, manakala peguam Fahmi Abd Moin dan Mahmud Jumaat masing-masing mewakili Zaim Ikhwan dan Ismanira.

Ibu bapa budak autisme, Zayn Rayyan ditahan reman pada 31 Mei lalu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 kerana membunuh, reman pasangan itu tamat hari ini.

Mahkamah sedang mendengar permohonan ikat jamin terhadap kedua-duanya.

Pada 6 Disember tahun lalu, mayat Zayn Rayyan ditemui dalam keadaan terbaring di anak sungai berhampiran rumahnya di Apartmen Idaman, Sungai Buloh selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri. -MalayaDailyToday

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Malayadailytoday