September 2, 2024
#BERITA

Anwar arah ‘fast track’ sekolah daif

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk melaksanakan ‘laluan pantas’ atau fast track bagi kerja-kerja memperbaiki dan pembangunan semula sekolah-sekolah daif di seluruh negara.

Beliau menegaskan tidak mahu sebarang kerenah pentadbiran mengganggu pelaksanaan segera urusan melibatkan sekolah-sekolah daif, selaras dengan keutamaan dalam Belanjawan Madani 2023 yang memperuntukkan peruntukan terbesar untuk sektor pendidikan.

Tegasnya, situasi kritikal yang sekian lama membelenggu para guru dan murid sekolah terlibat, contohnya isu tandas rosak tidak seharusnya terjadi tatkala pertumbuhan negara dalam keadaan membanggakan.

“Ada sekolah kalau ada lapan tandas, empat rosak. Ada sekolah empat tandas, tiga rosak. Jadi kita nak didik anak-anak tanpa kemudahan-kemudahan asas, ini yang mempengaruhi saya. Bukan laporan, bukan kajian daripada pakar-pakar. Melihat dari mata, melihat dari peringkat serendahnya,” katanya di Melaka hari ini.

KPM memperoleh peruntukan tertinggi berjumlah RM55.2 bilion berbanding RM52.6 bilion, tahun lalu.

Daripada nilai itu, sejumlah RM2.3 bilion disediakan untuk memastikan infrastruktur dan kemudahan pembelajaran terbaik di semua sekolah buat setiap golongan pelajar.

Ini meliputi peruntukan RM920 juta untuk naik taraf bangunan serta infrastruktur di 380 buah sekolah daif, khususnya di Sabah dan Sarawak melalui kaedah perolehan khas untuk kesegeraan. -MalayaDailyToday

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Malayadailytoday