September 3, 2024
#MAHKAMAH / JENAYAH

Lepas empat tahun, perbicaraan kes gubah wang haram, elak cukai LHDN Rosmah mula esok

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai yang dihadapi oleh Datin Seri Rosmah Mansor akan didengar di Mahkamah Tinggi di sini bermula esok (Jumaat).

Untuk makluman, prosiding ini akan bermula esok sehingga September ini dijadual didengar di hadapan Hakim K. Muniandy.

Mahkamah sudah menetapkan tarikh perbicaraan esok diikuti pada 28 Mei dan 30 Jun; 6, 7, 27, 28 dan 31 Julai; 1, 2, 11, 24 dan 25 Ogos serta 7 dan 8 September.

Sebelum ini kes ini sepatutnya didengar oleh hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan namun beliau dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Rayuan.

Mohamed Zaini sebelum ini juga pernah memberi peringatan kepada pembelaan supaya memberi keutamaan kepada kes ini yang sudah begitu lama, Rosmah telah didakwa empat tahun lepas iaitu Oktober 2018 lagi.

Pada pengurusan kes 23 Mac lalu, Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn memaklumkan dijangka seramai 15 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan manakala Rosmah diwakili peguam Datuk Geethan Ram Vincent.

Rosmah yang juga isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, Rosmah didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018.

Rosmah didakwa gagal melakukannya seperti mana yang diperuntukkan oleh Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 dengan tiada sebab munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama. -MalayaDailyToday

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Malayadailytoday