MELAKA – Malang tidak berbau, gurauan saiz payudara akhirnya menyebabkan seorang pengurus sebuah syarikat maut ditikam seorang pelanggan lain di sebuah gerai makan di Taman Kenanga, Tengkera, di sini.
Mangsa, 35, yang ditikam meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Melaka akibat parah ditikam di jantung awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati, sebelum kejadian mangsa bersama beberapa rakannya datang ke gerai berkenaan dalam keadaan mabuk selepas selesai berhibur.
“Selesai makan, si mati dikatakan bercakap dengan kawannya mengenai saiz payudara seorang pelanggan wanita di situ yang kemudian ditegur lelaki berusia mendakwa dia adalah pengawal peribadi wanita terbabit.
“Keadaan menjadi tegang apabila berlaku tolak menolak dan tumbuk menumbuk antara si mati, pengawal peribadi dan kekasih wanita itu berusia 36 tahun,” katanya kepada media.
Tambahnya susulan itu, polis menahan tujuh suspek berusia antara 25 hingga 38 tahun termasuk pengawal peribadi berkenaan serta teman wanita itu dan kekasihnya itu untuk membantu siasatan.
“Kita turut merampas pisau dan batang besi yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan tersebut,” -MalayaDailyToday
Discussion about this post