LONDON: Misi BepiColombo hasil kerjasama antara Agensi Angkasa Eropah (ESA) dan Agensi Penjelajahan Aeroangkasa Jepun (JAXA) dijangka memasuki orbit planet Utarid hari ini, selepas menempuh perjalanan selama lapan tahun sejauh kira-kira 9.65 bilion kilometer.
Pencapaian kapal angkasa kembar itu sekali gus bakal menjadikannya misi kedua dalam sejarah yang berjaya mengelilingi planet paling kecil dalam sistem suria tersebut.
Media antarabangsa melaporkan kapal angkasa berkenaan dilancarkan pada Oktober 2018 menggunakan roket Ariane 5 dari pelabuhan angkasa Eropah di Guiana Perancis.
Pengawal penerbangan dijangka menyalakan pendorong kapal angkasa itu hari ini bagi memperlahankan kelajuannya secukupnya supaya dapat ditarik oleh graviti Utarid.
Misi tersebut akan mengkaji permukaan, bahagian dalaman serta medan magnet planet berkenaan bagi memahami bagaimana Utarid terbentuk dan berevolusi pada kedudukan yang begitu hampir dengan matahari.
“Kami sangat teruja kerana ini merupakan penantian yang amat panjang,” kata profesor dari Universiti Leicester yang terlibat dalam misi itu selama 20 tahun, Emma Bunce kepada akhbar The Guardian.
Bunce memaklumkan, usaha mencapai Utarid berdepan cabaran luar biasa memandangkan kapal angkasa akan memecut di bawah tarikan graviti matahari dan memerlukan masa yang panjang untuk memperlahankan kelajuan.
“Ini merupakan satu misi yang sangat kompleks dan mencabar,” katanya.
Misi BepiColombo terdiri daripada Pengorbit Planet Utarid (Mercury Planetary Orbiter) milik ESA dan Pengorbit Magnetosfera Utarid (Mercury Magnetospheric Orbiter) milik Jepun yang bergerak bersama-sama menggunakan modul pemindahan elektrik-suria.
Kedua-dua pengorbit itu dijangka berpisah pada bulan depan dan memasuki laluan berbeza di sekeliling Utarid sebelum memulakan operasi saintifik pada April tahun hadapan.
Kapal angkasa Eropah tersebut akan memetakan permukaan Utarid, meneliti komposisi kimianya serta menyiasat teras logam planet itu yang luar biasa besar.
Rakan sejawatnya dari Jepun pula akan mengkaji medan magnet planet berkenaan serta lapisan gas nipis yang menyelubunginya.
“Kami menjangkakan dapat mempelajari pelbagai perkara baharu dengan membawa instrumen yang lebih berkuasa pada dua kapal angkasa untuk mengkaji segenap aspek planet itu termasuk bahagian dalaman, permukaan dan ruang angkasa di sekelilingnya,” kata ketua saintis projek misi tersebut di ESA, Geraint Jones kepada The Guardian.
Para saintis turut berharap dapat mengenal pasti punca Utarid mempunyai ais di dalam kawah kutub yang sentiasa terlindung daripada cahaya walaupun suhu permukaannya pada waktu siang mencecah 450 darjah Celsius.
BepiColombo menyusuli kejayaan kapal angkasa MESSENGER milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) yang menjadi misi pertama mengorbit Utarid pada 2011.
MESSENGER mengkaji planet berkenaan selama lebih empat tahun sebelum menamatkan misinya melalui hentaman terkawal di permukaan Utarid pada April 2015.
Kapal angkasa BepiColombo dijangka menghabiskan tempoh kira-kira tiga tahun mengorbit Utarid sebelum kehabisan bahan api dan akhirnya terhempas ke permukaan planet tersebut.-MalayaDailyToday






















































