NEW YORK: Seorang pelukis persembahan mencipta rekod dunia baharu apabila berjaya menyiapkan lukisan Patung Liberty dalam masa hanya 43.5 saat, sekali gus dinobatkan sebagai masa terpantas melukis mercu tanda ikonik berkenaan.
Media melaporkan pencapaian luar biasa David Garibaldi itu diumumkan oleh Guinness World Records sempena sambutan Hari Rekod Dunia Guinness (GWR) ke-22 yang diadakan baru-baru ini.
Majlis itu turut menyaksikan pengiktirafan beberapa rekod baharu lain.
“Ini merupakan sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini iaitu mengetepikan elemen persembahan dan menumpukan sepenuhnya kepada kelajuan.
“Saya mahu menetapkan penanda aras baharu ini untuk diri sendiri dan paling penting, untuk dunia.
“Saya berharap kejayaan ini memberi inspirasi kepada mana-mana kanak-kanak atau orang dewasa di luar sana yang ingin mencubanya kerana sepanjang proses mengejar sasaran itu, anda tetap akan menjadi hebat,” katanya.
Garibaldi menghasilkan lukisan berkenaan dari sebuah lokasi di bandar raya New York yang menawarkan pemandangan jelas tanpa halangan ke arah mercu tanda tersebut.
Sementara itu, pengadil rasmi GWR yang menyaksikan percubaan berkenaan, Michael Empric berkata, organisasi itu sentiasa menggalakkan orang ramai melakukan sesuatu yang melangkaui batas kemampuan diri.
“Hari Rekod Dunia Guinness adalah untuk meraikan pencapaian ikonik seperti ini.
“Malah, melakukannya di kawasan dermaga New York dengan berlatarbelakangkan Patung Liberty adalah sesuatu yang sangat sempurna,” ujarnya.
Untuk rekod, Hari Rekod Dunia Guinness disambut secara tahunan sejak 2004.
Antara rekod baharu lain yang turut diumumkan sempena Hari GWR 2026 termasuk parkir selari paling sempit memandu kereta menggunakan dua roda pada jarak 6.53 meter; masa terpantas melakukan 10 pusingan donut menggunakan kereta drift dalam tempoh 17.14 saat; serta parkir selari cermin paling sempit sejauh 210 sentimeter.
Turut mencuri tumpuan ialah rekod aksi BMX flair berturut-turut terbanyak sebanyak 10 kali; lompatan backflip basikal tertinggi mencecah 3.13 meter; bilangan kereta terbanyak melakukan pusingan donut dalam satu bulatan secara serentak (12 buah); tempoh paling lama mengekalkan posisi straddle human flag di atas kereta yang sedang drift (25.96 saat); serta lompatan tali terbanyak sambil memakai selipar jepun dalam masa seminit dengan catatan 249 kali.-MalayaDailyToday























































