SAN FRANCISCO – Seorang ahli matematik dari syarikat Anthropic mendakwa berjaya membuktikan persamaan matematik terkenal yang sekian lama tidak terungkai dengan menggunakan chatbot kecerdasan buatan (AI) milik syarikat berkenaan.
Media antarabangsa melaporkan Hipotesis Riemann yang dinamakan sempena ahli matematik Jerman, Bernhard Riemann mengemukakan teori bahawa kedudukan nombor perdana di sepanjang garis nombor bukanlah secara rawak, sebaliknya ditentukan mengikut susunan yang bermakna.
Selama 167 tahun, hipotesis berkenaan kekal tidak terungkai sejak mula diperkenalkan oleh beliau pada 1859.
Bagaimanapun, ahli matematik berketurunan Turki-Amerika, Dr. Levent Alpöge, 34, mendakwa telah menemukan jawapannya menerusi penggunaan Claude, iaitu chatbot AI dibangunkan Anthropic.
“Saya percaya saya telah menemukan bukti bagi Hipotesis Riemann hasil kerjasama dengan Claude.
“Adalah sesuatu yang semula jadi untuk berasakan ini adalah satu pengakhiran, dalam kes saya seperti kehilangan cahaya panduan utama, namun apa yang saya saksikan sepanjang proses ini amat mengagumkan sehingga saya percaya ia merupakan fajar baharu merentasi dunia sains untuk sesuatu yang jauh lebih besar,” katanya.
Beliau turut berharap hujah pembuktian itu dapat memberikan gambaran awal terhadap keajaiban yang menanti pada masa hadapan, selain memperlihatkan kegembiraan serta kekaguman yang bakal ditemukan dalam perkara-perkara paling ringkas.
Hipotesis Riemann amat penting kepada golongan ahli matematik kerana ia menghubungkan urutan nombor perdana dengan satu pola yang tepat.
Sebelum ini, ahli matematik dan ahli falsafah Jerman, David Hilbert pada 1900 pernah menyifatkan persamaan tidak terungkai itu sebagai antara cabaran matematik terbesar abad ke-20.
Pada tahun 2000, organisasi bukan berasaskan keuntungan di Amerika Syarikat (AS), Institut Matematik Clay menawarkan ganjaran berjumlah AS$1 juta (kira-kira RM4.4 juta) kepada sesiapa sahaja yang berjaya menyelesaikan cabaran berkenaan.
Menurut laporan akhbar The Independent, Dr. Alpöge telah menerbitkan versi pembuktian yang dihasilkannya itu dalam kod komputer Lean, iaitu perisian yang digunakan bagi mengesahkan ketepatan jalan kerja ahli matematik.
Pakar-pakar berkaitan kini akan menilai sama ada saintis berusia 34 tahun itu benar-benar berjaya membuktikan teori berkenaan.
Pada Julai lalu, Dr. Alpöge pernah tular selepas memuat naik contoh penyangkal (counterexample) bagi Konjektur Jacobian yang terkenal dalam fenomena geometri algebra secara dalam talian.
Beliau turut menggunakan chatbot AI Anthropic untuk menyelesaikan persamaan tersebut yang digambarkan sebagai terbitan peringkat pertama bagi fungsi bernilai vektor dengan beberapa pemboleh ubah.
Susulan penemuan itu, Dr. Alpöge memuat naik hantaran di platform X: “Helo semua, konjektur Jacobian adalah palsu, terima kasih kepada sahabat karib saya Akhil kerana bertanya mengenainya dan seorang lagi sahabat baik saya Fable kerana bertungkus-lumus ketika perlawanan akhir Piala Dunia berlangsung.”-MalayaDailyToday























































