SIK – Kebakaran yang memusnahkan hampir keseluruhan sebuah rumah di Kampung Teloi Tua di sini awal pagi tadi meragut nyawa dua kanak-kanak berusia setahun empat bulan dan tiga tahun yang ditemukan rentung di atas katil.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam satu kenyataan memaklumkan, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan sebelum tiba pada pukul 6.27 pagi.
Menurut kenyataan itu, sebaik tiba di lokasi, pihak bomba mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah kelas A berkeluasan 20 kali 10 kaki dengan kemusnahan dianggarkan sebanyak 90 peratus.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran hos dengan sumber air daripada tangki jentera serta pili bomba berhampiran.
“Pemeriksaan lanjut kemudian menemukan dua mangsa di atas katil dan kedua-duanya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” menurut kenyataan tersebut.
Operasi menyelamat dan pemadaman turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) terdekat bersama anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Setakat ini, kerja-kerja pemadaman bara api dan pemeriksaan susulan masih dijalankan di lokasi sementara punca sebenar kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.-MalayaDailyToday






















































