SEREMBAN – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan mengesahkan seramai 24 daripada 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN dan Perikatan Nasional (PN) negeri ini mencapai kata sepakat untuk akur serta mematuhi sebarang arahan pucuk pimpinan dan ketetapan parti bagi menyelesaikan kemelut politik semasa.
Kesepakatan kolektif itu dimuktamadkan dalam satu perjumpaan khas yang dipengerusikan beliau di Wisma UMNO Negeri Sembilan di sini malam tadi, tanpa kehadiran Menteri Besar yang juga ADUN Juasseh, Datuk Ismail Lasim.
“Dalam perjumpaan khas ini, kesemua ADUN mencapai kata sepakat untuk akur dan patuh atas apa jua arahan pucuk pimpinan serta ketetapan parti termasuk ADUN PN.
“Ini bagi memastikan segala kemelut politik yang sedang melanda di negeri ini dapat diselesaikan segera demi kestabilan dan kemakmuran rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Mesyuarat tertutup yang bermula pukul 9 malam tadi itu berlangsung selama lebih dua jam.
Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, dua lagi wakil rakyat iaitu ADUN Serting, Mohd. Fairuz Mohd. Isa dan ADUN Sikamat, Datuk Razali Abu Samah yang kini berada di luar negara turut menyatakan sokongan penuh terhadap apa jua keputusan dicapai malam tadi.
Terdahulu, media melaporkan Ismail dalam sidang akhbar berkata, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir telah menitahkan beliau untuk terus menjalankan tugasnya, bagi memastikan kelangsungan dalam pentadbiran negeri.
Ismail juga menjelaskan bahawa beliau tidak menyerahkan mahupun mengizinkan penyerahan surat peletakan jawatan tersebut kepada Tuanku Muhriz, sambil menyatakan bahawa surat itu telah disimpan oleh kepimpinan partinya.
Susulan itu, Istana Negeri Sembilan semalam menjelaskan pihaknya tidak meminta Ismail kekal sebagai Menteri Besar, sambil menegaskan beliau mesti membuktikan sokongan majoriti yang berterusan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menentukan kedudukannya selaras konvensyen dan peruntukan perlembagaan.
Pengelola Bijaya Diraja berkata, perkara berkenaan memerlukan penyelesaian segera susulan majlis menghadap Ismail ke atas Tuanku Muhriz di Istana Hinggap di sini pagi semalam.
Isnin lalu, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menerusi kenyataan dimuat naik di Facebook memaklumkan Ismail telah meletak jawatan sebagai Menteri Besar.
Katanya, salinan surat peletakan jawatan Ismail diterima oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Pada keesokan hari, pihak istana menjelaskan bahawa peletakan jawatan seseorang Menteri Besar hanya akan berkuat kuasa dengan perkenan Tuanku Muhriz, selaras dengan Perlembagaan Negeri.-MalayaDailyToday






















































