KUCHING – Sebanyak 517 borang pencalonan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 terjual setakat kelmarin menjelang hari penamaan calon yang dijadual berlangsung pada 28 November ini.
Bernama melaporkan Pengarah Pilihan Raya Negeri Sarawak, Abang Noraffian Abang Ibrahim berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 390 borang dijual secara langsung di kaunter Pejabat Pilihan Raya Negeri Sarawak sejak penjualan dibuka pada 6 November lalu.
“Daripada jumlah keseluruhan tersebut, baki 127 borang lagi dijual menerusi pejabat Pegawai Pengurus di peringkat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negeri,” katanya.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan bahawa mereka yang ingin bertanding dalam PRN Sarawak kali ini digalakkan membayar deposit lebih awal bagi memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan segera dan berjalan lancar.
SPR turut mengingatkan bahawa borang berkenaan yang telah lengkap diisi dan disemak oleh Pejabat Pegawai Pengurus hendaklah dikemukakan oleh calon, penyokong atau pencadang pada 28 November ini di pusat penamaan calon.
Suruhanjaya itu menetapkan pengundian awal pada 8 Disember ini manakala hari mengundi pada 12 Disember bagi PRN Sarawak kali ini yang menyaksikan sebanyak 82 kerusi DUN dipertandingkan.
Pada 23 Oktober lalu, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan DUN Sarawak dibubarkan berkuat kuasa 26 Oktober bagi memberi laluan kepada PRN Sarawak Ke-13.-MalayaDailyToday
























































