KOTA TINGGI – Suspek kes pembunuhan seorang peneroka menggunakan kapak di Felda Lok Heng Selatan, direman selama tujuh hari bermula hari ini.
Media melaporkan perintah reman terhadap lelaki berusia 41 tahun itu dikeluarkan oleh Hakim Hidayatul Syuhada Shamsudin di Mahkamah Majistret Pengerang pagi tadi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sebelum ini, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, suspek yang melarikan diri selepas kejadian berjaya ditangkap di dalam sebuah kebun kelapa sawit pada pukul 10.26 pagi semalam.
Beliau memaklumkan pihak polis menerima laporan mengenai penemuan mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 68 tahun, yang terbaring berlumuran darah di tepi jalan kawasan Felda berkenaan pada pukul 7.56 malam Isnin.
“Hasil siasatan awal di lokasi kejadian mendapati mangsa mengalami kecederaan parah akibat luka ditetak pada bahagian kepala dan kedua-dua belah lengan,” katanya.
Polis turut merampas sebilah kapak dan sebuah motosikal yang dipercayai digunakan suspek dalam insiden terbabit, manakala semakan mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah.
Siasatan lanjut kini diteruskan bagi mengenalpasti motif sebenar serangan terbabit sebelum kertas siasatan disahkan untuk tindakan pendakwaan di mahkamah.-MalayaDailyToday



















































