KUALA LUMPUR – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) membatalkan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) selepas mendapati penjelasan yang dikemukakan gabungan itu tidak dapat menyangkal asas pembatalan seperti dinyatakan dalam notis sebelum ini.
RoS dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan itu dibuat selepas Pendaftar Pertubuhan meneliti keseluruhan dokumen dan penjelasan yang dikemukakan PN susulan notis bertarikh 22 September lalu.
Menurut RoS, pihaknya menerima maklum balas daripada PN pada 12 Oktober lalu sebelum mendapati alasan yang diberikan tidak dapat menyangkal asas pembatalan pendaftaran gabungan berkenaan.
“Pendaftar Pertubuhan mendapati alasan yang diberikan tidak dapat menyangkal asas-asas pembatalan pendaftaran sebagaimana yang dinyatakan dalam notis tersebut.
“Malah, penjelasan itu juga tidak memberikan justifikasi yang kukuh untuk mengekalkan pendaftaran pertubuhan berkenaan.
“Sehubungan itu, Pendaftar Pertubuhan memutuskan untuk membatalkan pendaftaran PN di bawah subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966,” jelas kenyataan itu.
Dalam pada itu, RoS menegaskan, setiap pertubuhan berdaftar bertanggungjawab memastikan pematuhan terhadap peruntukan Akta Pertubuhan 1966 serta perlembagaan masing-masing.
Jabatan itu turut menegaskan fungsi kawal selia dan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan secara tegas, adil serta berlandaskan undang-undang bagi memastikan tadbir urus pertubuhan yang teratur, telus dan berintegriti.
Sebelum ini, RoS mengesahkan menerima aduan rasmi Bersatu pada 11 Ogos lalu yang antara lain membabitkan dakwaan parti itu tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang diadakan pada 16 Julai lalu, selain isu berkaitan keanggotaan dalam gabungan itu.
Bersatu mendakwa tindakan mengecualikan parti itu telah melanggar Fasal 7.1 Perlembagaan PN serta mempertikai kewujudan ‘kuasa veto’ yang mempengaruhi keputusan Majlis Tertinggi.
Berikutan aduan itu, RoS mengeluarkan perintah penggantungan sementara terhadap semua aktiviti PN di bawah Subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832] susulan notis dikeluarkan kepada gabungan itu pada 22 September lalu.
RoS memberikan tempoh yang munasabah kepada PN untuk menjawab notis berkenaan.-MalayaDailyToday






















































