AYER KEROH – Kerajaan Nepal mempertimbangkan untuk meminda undang-undang atau menyediakan peruntukan khas bagi mempercepat pengeluaran sijil kematian kepada 54 rakyat Malaysia yang hilang dan tidak dapat dikesan susulan tragedi banjir besar di sempadan Nepal-China pada 26 Ogos lepas.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan kepada pemberita pada Program Penutup Persidangan Agung Kebangsaan Persatuan Solidariti Nasional Malaysia (PerSoNa) Kali Ke-10 Sesi 2025 di Ayer Keroh, Melaka.
Media melaporkan Mohamad berkata, langkah itu bagi membolehkan waris mangsa menyelesaikan urusan berkaitan kewangan serta tuntutan insurans.
Beliau memaklumkan usaha itu sedang diuruskan melalui hubungan diplomatik antara kedua-dua negara, termasuk perbincangan dengan Kedutaan Malaysia di Nepal dan Duta Nepal yang telah mengadakan kunjungan ke pejabatnya minggu lalu.
Jelasnya, cadangan pindaan undang-undang berkenaan dijangka dibentangkan di Parlimen Nepal dalam masa terdekat bagi membolehkan sijil kematian dikeluarkan tanpa perlu menunggu tempoh yang panjang.
“Sekurang-kurangnya, kalau tidak dapat dipinda, mereka akan membuat satu peruntukan khas untuk membolehkan sijil kematian dikeluarkan dengan segera kepada 54 rakyat Malaysia yang terus tidak dapat dihubungi dan dipercayai telah hilang tanpa dapat dikesan hingga kini,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, berdasarkan peraturan sedia ada di Nepal, sijil kematian boleh dikeluarkan bagi kes kematian yang disahkan, namun proses bagi individu yang hilang dan tidak dapat dikesan mengambil masa sehingga tiga tahun.
Katanya, tempoh berkenaan menimbulkan kesukaran kepada keluarga terdekat mangsa, khususnya dalam menguruskan komitmen kewangan yang memerlukan pengesahan status kematian.
“Ini dapat memudahkan keluarga terdekat mereka untuk berurusan dengan bank, insurans dan pelbagai pihak lain.
“Perkara ini sedang kita uruskan dan insya-Allah, ia dalam proses. Kita berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan segera,” katanya.
Tambah Mohamad, kerajaan Malaysia akan terus berhubung dengan pihak berkuasa Nepal bagi memfasilitasi proses berkenaan demi meringankan beban keluarga mangsa yang terkesan.
Tragedi banjir besar dan aliran puing yang melanda kawasan penempatan serta laluan perhubungan di sempadan Nepal-China itu pada mulanya menyaksikan 55 rakyat Malaysia terputus hubungan.
Namun, seorang daripada mereka disahkan selamat dan telah pulang ke tanah air pada awal Oktober lalu, manakala 54 lagi masih belum ditemui.
Usaha mengesahkan status 54 rakyat Malaysia diteruskan melalui kerjasama pihak berkuasa negara ini dan Nepal.-MalayaDailyToday



















































