HULU TERENGGANU – Seorang wanita berusia 23 tahun direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes penemuan mayat bayi tanpa kepala di Taman Perumahan Padang Setengge di sini, pada Jumaat lepas.
Perintah tahanan reman bermula hari ini sehingga 21 Oktober dikeluarkan oleh Majistret Nur Athirah Hashim di Mahkamah Majistret Kuala Berang bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Sharudin Abdul Wahab berkata, suspek ditahan polis pada pukul 3.30 petang, semalam.
Beliau memaklumkan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang atau menyembunyikan mayat secara sulit sama ada bayi berkenaan meninggal dunia sebelum, semasa atau selepas dilahirkan.
“Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, media melaporkan mayat seorang bayi ditemukan di dalam longkang dalam keadaan tidak sempurna di kawasan Perumahan Padang Setengge oleh seorang penduduk perumahan tersebut ketika sedang membasuh pakaian di belakang rumahnya.
Hasil bedah siasat di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu mendapati bayi tersebut meninggal dunia lebih 24 jam sebelum mayatnya ditemukan.-MalayaDailyToday






















































