TOKYO – Agensi Meteorologi Jepun (JMA) memohon maaf secara terbuka selepas tersilap mengeluarkan amaran gempa bumi paling dahsyat berukuran 9.9 skala Richter kelmarin, sebelum menarik balik amaran itu beberapa minit kemudian.
AFP melaporkan amaran tersebut mencetuskan bunyi amaran kecemasan pada jutaan telefon bimbit selepas JMA memaklumkan gempa bumi itu berlaku berhampiran Kepulauan Kuril, yang dikenali di Jepun sebagai Kepulauan Chishima.
JMA kemudian mengesahkan insiden sebenar merupakan gempa bumi berukuran 6.9 skala Richter yang berlaku berhampiran Semenanjung Kamchatka, Russia, pada kedalaman 160 kilometer (km) sejurus selepas tengah hari.
Pegawai JMA, Shinya Tsukada berkata, kesilapan teknikal berkenaan berpunca daripada anomali dalam pengiraan lokasi pusat gempa bumi oleh sistem agensi itu.
“Kami memohon maaf sedalam-dalamnya atas kesulitan dan kebimbangan besar yang dialami orang ramai,” katanya.
JMA menjelaskan anggaran 9.9 magnitud dibuat berdasarkan andaian tidak tepat bahawa pusat gempa terletak kira-kira 680km lebih jauh dari Jepun berbanding kedudukan asalnya.
Meskipun tidak mengundang panik secara meluas, amaran palsu itu mengganggu perkhidmatan pengangkutan awam serta sistem perhubungan buat sementara waktu.
Jepun pernah dilanda gempa bumi bawah laut berukuran 9.0 magnitud pada 2011 yang mencetuskan tsunami dahsyat, mengorbankan atau menyebabkan kira-kira 18,500 orang hilang serta memusnahkan loji nuklear Fukushima.
Pakar meteorologi tempatan mendakwa gempa bumi bermagnitud 9.9 bakal melepaskan tenaga kira-kira 22 kali ganda lebih kuat berbanding tragedi bencana pada 2011 berkenaan.-MalayaDailyToday



















































