KUALA LUMPUR – Sebanyak RM100 juta diperuntukkan untuk membangunkan kolam takungan dan menyelenggara sungai sebagai langkah segera mengurangkan risiko banjir kilat di Lembah Klang.
Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Anwar, kerajaan Persekutuan dan kerajaan Selangor menyepakati lima langkah utama termasuk menilai keupayaan Empangan Batu dan Empangan Klang Gate bagi tempoh 30 tahun mendatang.
Bagi menangani isu banjir dan bekalan air bersih di Kelantan pula, Anwar berkata, kerajaan akan memulakan perancangan Projek Empangan Lebir sebagai penyelesaian jangka panjang.
Katanya, langkah itu dilaksanakan serentak dengan pembinaan Loji Rawatan Air Machang dan penggantian paip uzur
yang sedang berjalan.
Sementara itu, Anwar memaklumkan kerajaan bersetuju melaksanakan Sistem Transit Aliran Autonomi Bertingkat (e-ART) sebagai penyelesaian utama menangani masalah kesesakan trafik di Johor Bahru.
Katanya, langkah itu diperkukuh dengan persediaan menyeluruh menjelang pembukaan Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura melalui penambahan laluan serta kekerapan bas henti-henti, perkhidmatan KTM Komuter, dan penyediaan khidmat Grab Shuttle di kawasan-kawasan tumpuan.
“Kesesakan lalu lintas di Johor Bahru mesti ditangani segera. Kerajaan telah bersetuju melaksanakan e-ART sebagai penyelesaian utama,” katanya.-MalayaDailyToday























































