KUALA LUMPUR – Peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi 2027 ditingkatkan kepada RM16 bilion berbanding RM15 bilion sebelum ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua penerima STR akan menerima SARA sehingga RM150 sebulan atau RM1,800 setahun, sekali gus memanfaatkan sehingga sembilan juta penerima.
Katanya, bantuan bersasar itu turut diperluaskan kepada golongan bukan penerima STR berumur 18 tahun ke atas menerusi pemberian kredit tunai SARA MADANI berjumlah RM100 sebanyak dua kali.
“Manakala selain penerima STR yang berusia 18 tahun ke atas, akan menerima SARA MADANI sebanyak RM100 sebanyak dua kali, iaitu sebelum Aidilfitri dan menjelang ambang tujuh dasawarsa Merdeka.
“Bantuan ini akan memanfaat sehingga 13 juta rakyat Malaysia termasuk golongan M40,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan turut bersetuju memperluaskan penggunaan kredit SARA bagi pembelian barangan basah dan segar di 216 pasar tani atau tamu di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di seluruh negara.
Kata beliau, setakat ini, terdapat kira-kira 15,000 premis rakan niaga SARA termasuk 6,800 kedai runcit kecil dan koperasi.
Anwar berkata, kerajaan menyasarkan jumlah kedai runcit kecil yang mengambil bahagian dalam pelaksanaan SARA ditingkatkan kepada 10,000 premis sebelum hujung tahun ini.
Selain itu, Anwar berkata, peruntukan dana jualan Rahmah MADANI dan Jualan Agro MADANI akan ditingkatkan daripada RM630 juta kepada RM750 juta, dengan sasaran keseluruhan 35,000 penganjuran.
Daripada jumlah itu, sebanyak 30,000 penganjuran Jualan Rahmah disasarkan melibatkan semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan tumpuan diperluas ke kawasan desa, perumahan kos rendah dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bandar.
Pelaksanaan Jualan Rahmah turut diperluas menerusi penggunaan mesin layan diri, selain penganjuran Jualan Rahmah MADANI Borong bagi membantu peniaga kecil.
Bagi Jualan Agro MADANI pula, sebanyak 5,000 penganjuran disasarkan dengan menawarkan hasil pertanian segar seperti ikan, ayam, sayur-sayuran dan buah-buahan pada harga sehingga 30 peratus lebih murah.
Sementara itu, Anwar berkata, pengedaran barangan asas ke kawasan pedesaan dan pedalaman turut diperluas menerusi peruntukan RM250 juta.
“Ini melibatkan enam lokasi baharu termasuk Kampung Terian, Penampang, Sabah dan Kampung Dato’ Godam, Pusa, Sarawak,” katanya.-MalayaDailyToday























































