KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal kini berada dalam keadaan stabil dan sedang berehat di wad Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Pentadbir akaun Facebook Wan Ahmad Fayhsal menerusi hantaran memaklumkan Ahli Parlimen Machang itu turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang mendoakannya.
“Beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang mendoakan. Sebarang perkembangan berkenaan keadaan beliau akan dimaklumkan. Terima kasih,” jelas hantaran itu.
Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal menerusi hantaran di media sosial berkata, kejadian berlaku ketika beliau membantu menyiapkan tugasan sekolah anaknya sebelum pengsan sehingga 6 petang semalam.
“Pada awal pagi tadi, ketika saya siapkan latihan kerja sekolah anak, tiba-tiba saya tidak sedarkan diri sama sekali sampailah jam 6 petang.
“Saya kini berada di HKL untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan mengejut (kecemasan). Insya-ALLAH saya akan melalui ujian CT Scan (imbasan Tomografi Berkomputer)” katanya.
Terdahulu, Setiausaha Sulit kepada Ahli Parlimen Machang itu, Wan Meor Safwat Naqiuddin Shamsudin menerusi kenyataan memaklumkan Wan Ahmad Fayhsal dikejarkan ke HKL bagi menerima rawatan kecemasan semalam.
Menurut kenyataan itu, beliau dimasukkan ke wad hospital berkenaan untuk menerima rawatan susulan dan kini berada dalam keadaan stabil.
Jelas kenyataan itu, doktor turut menasihatkan Wan Ahmad Fayhsal supaya berehat sehingga pulih sepenuhnya.
“Pejabat Ahli Parlimen Machang memohon agar sama-sama kita mendoakan semoga YB Wan Ahmad Fayhsal diberikan kesembuhan dan kembali pulih seperti sediakala,” jelas kenyataan itu.
Kenyataan itu bagaimanapun tidak menjelaskan punca beliau dikejarkan ke hospital atau keadaan yang menyebabkan beliau memerlukan rawatan kecemasan.-MalayaDailyToday




















































