KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa memberikan penjelasan berhubung percanggahan kenyataan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Mohd Hisyamuddin Ghazali mengenai status penghantaran pulang etnik Rohingya ke Myanmar.
Naib Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Lee Yee Yuan berkata, penjelasan rasmi perlu dibuat bagi mengelakkan kekeliruan awam berhubung angka dan status sebenar individu yang dihantar pulang.
“Pada 30 September lalu, Mohd Hisyamuddin menerusi hantaran di Facebook menyatakan seramai 1,476 etnik Rohingya/Myanmar telah selesai dihantar pulang, manakala 3,524 lagi dikenal pasti untuk fasa kedua.
“Persoalannya, mengapa wujud perbezaan kenyataan tersebut dengan penjelasan Perdana Menteri di Dewan Rakyat?” kata Lee dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, media melaporkan Anwar memberitahu Dewan Rakyat bahawa setakat ini belum ada individu daripada etnik Rohingya yang dihantar pulang ke Myanmar kerana perkara berkenaan masih dalam peringkat perbincangan.
Bagaimanapun, Anwar berkata, beliau akan membangkitkan isu tersebut dalam pertemuannya bersama Presiden Myanmar dalam masa terdekat bagi memastikan sebarang langkah diambil secara teratur.
Dalam pada itu, Yee Yuan menegaskan ketepatan fakta amat kritikal kerana istilah warga Myanmar merujuk kepada pendatang asing tanpa izin (PATI), manakala etnik Rohingya dikategorikan sebagai pelarian.
Beliau mendesak kerajaan memperincikan status sebenar 1,476 individu yang telah dihantar pulang pada 29 September lalu serta kumpulan 3,524 individu yang dijadualkan bagi fasa seterusnya demi menjamin ketelusan maklumat.
“Isu ini bukan soal angka semata-mata, tetapi melibatkan ketepatan fakta dan ketelusan kerajaan dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat.
“Jika 1,476 individu itu bukan etnik Rohingya, maka jelaskan siapa mereka. Sekiranya 3,524 individu itu juga bukan Rohingya, maka jelaskan siapa yang dimaksudkan.
“Jika belum ada seorang pun pelarian Rohingya dihantar pulang, bilakah kerajaan mahu bertindak?,” katanya.-MalayaDailyToday




















































