KUALA LUMPUR – Seorang pengguna media sosial dikenali sebagai Shafii Halid tampil mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh susulan tuduhan fitnah membabitkan penyaluran dana bantuan kepada rakyat.
Permohonan maaf itu dibuat selepas Dr Akmal memberi ultimatum dua jam dan mengancam tindakan mahkamah berikutan komennnya yang mendakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu mencuri dan menggunakan duit curi bagi program bantuan.
“Sy Shafii ingin Memohon Maaf secara terbuka dgn komen yg Sy sudah buat pada posting Tuan. Sy harap Tuan memaafkan sy… sy baru buka fon dan melihat ramai yg tag sy dgn kata2 yg kesat dan sampai tag Isteri sy yg tidak ada kena mengena,” katanya menerusi hantaran di media.
Sebelum ini, Dr Akmal menuntut permohonan maaf terbuka daripada individu berkenaan selepas menyifatkan tuduhan berhubung sumber kewangan bagi bantuan rakyat itu sebagai satu penghinaan melampau yang menjejaskan maruah dirinya.
“Saya boleh terima apa jua kritikan, tetapi apabila menuduh bahawa saya mencuri dan menggunakan duit curi untuk bantu orang lain maka ia satu penghinaan terhadap diri saya. Jika tidak ada permohonan maaf, kita jumpa di mahkamah,” kata Dr Akmal.
Komen asal yang disasarkan kepada Dr Akmal itu mencetuskan kecaman hebat pengguna media sosial sehingga menyaksikan sesetengah warga maya bertindak melampaui batas dengan menyasar dan menghantar mesej kecaman kepada ahli keluarga Shafii.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu menegaskan bahawa insiden berkenaan wajar dijadikan iktibar oleh semua pihak agar tidak membuat sebarang tuduhan melampau tanpa berasaskan bukti kukuh.
“Moga menjadi pengajaran kepada semua. Nak komen, sila komen dengan fakta bukan dengan sesuka hati buat tuduhan. Jika kita tidak boleh buat baik, jangan hina orang yang buat baik pada masyarakat,” kata Dr Akmal menerusi hantaran balas di media sosial. -MalayaDailyToday




















































