KUALA LUMPUR – Saman fitnah Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari terhadap Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nabil Halimi berhubung hantaran karikatur berkaitan usaha Malaysia dalam menangani konflik Thailand-Kemboja, diselesaikan secara baik di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.
Dalam kenyataan bersama, Ahmad Fadhli dan Nabil memaklumkan persetujuan untuk menyelesaikan pertikaian secara baik serta menamatkan isu tersebut supaya kedua-dua pihak dapat memberikan tumpuan kepada perkara lain yang lebih penting, khususnya melibatkan kepentingan rakyat dan negara.
Tanpa sebarang pengakuan liabiliti, Nabil mengambil pendekatan terbuka dan berlapang dada untuk memohon maaf kepada Ahmad Fadhli atas kenyataan yang telah menimbulkan pertikaian antara kedua-dua pihak.
“Langkah ini diambil dengan hasrat untuk menutup pertikaian tersebut secara baik dan membolehkan kedua-dua pihak bergerak ke hadapan,” jelas kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, kedua-dua pihak turut bersetuju menamatkan pertikaian berdasarkan terma-terma yang telah dipersetujui bersama.
Susulan persetujuan itu, Ahmad Fadhli bersetuju menarik balik saman yang difailkan setelah terma persetujuan direkodkan oleh mahkamah.
Dalam prosiding tersebut, Ahmad Fadhli diwakili peguam, Mardhiyyah Johari dan Ahmad Amzar Ahmad Azlan, manakala Nabil diwakili Khairul Naim Rafidi serta Asyraaf Abu Bakar Hamzah.
Sebelum ini, media melaporkan Ahmad Fadhli selaku plaintif menuntut permohonan maaf dan ganti rugi sebanyak RM1 juta daripada Nabil yang juga defendan berhubung satu hantaran di Facebook.
Hantaran itu didakwa menyindir peranan rasmi Malaysia dalam usaha rundingan damai antara Thailand dan Kemboja menerusi sebuah karikatur yang dimuat naik dalam hantaran di Facebook.-MalayaDailyToday






















































