SHAH ALAM – Belanjawan 2027 perlu memberi tumpuan lebih khusus kepada isu pemilikan rumah dalam kalangan generasi muda Bumiputera yang kini berdepan tekanan kos sara hidup, komitmen kewangan dan syarat pembiayaan yang semakin ketat.
Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat, Saifuddin Shafi Muhammad, berkata Belanjawan 2027 yang dilihat sebagai belanjawan pra-persediaan Pilihan Raya Umum ke-16 juga perlu menjadi platform untuk menangani cabaran pemilikan aset dalam kalangan anak muda.
Katanya, Malaysia mempunyai lebih 21.8 juta Bumiputera, manakala hampir 3.7 juta graduan Bumiputera berada dalam pasaran tenaga kerja, namun memiliki rumah pertama masih menjadi cabaran besar walaupun ramai mempunyai pekerjaan tetap dan pendapatan stabil.
“Realitinya, harga purata rumah di Malaysia kini menghampiri RM500,000, sedangkan majoriti pembeli rumah pertama terdiri daripada golongan muda yang baru membina kerjaya dan keluarga.
“Keadaan ini menyebabkan golongan muda terpaksa berdepan dilema antara memenuhi keperluan harian, komitmen hutang dan menyediakan simpanan untuk deposit rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Saifuddin, keadaan itu lebih membimbangkan apabila negara pada masa sama masih merekodkan puluhan ribu unit rumah siap yang tidak terjual.
Katanya, pada separuh pertama 2026 sahaja, lebih 33,000 unit rumah siap bernilai hampir RM18 bilion masih belum menemui pembeli, sekali gus menunjukkan wujud ketidakpadanan antara penawaran rumah dengan kemampuan rakyat untuk memilikinya.
“Ini menunjukkan masalah sebenar bukan kekurangan rumah semata-mata, tetapi jurang antara kemampuan rakyat dan akses kepada pembiayaan.
“Justeru, saya mengharapkan kerajaan mempertimbangkan beberapa langkah utama dalam Belanjawan 2027 bagi memecahkan halangan pemilikan rumah pertama,” katanya.
Beliau mencadangkan skim deposit sifar diperluaskan kepada pembeli rumah pertama Bumiputera yang mempunyai rekod pekerjaan serta caruman KWSP yang konsisten, selain memperkenalkan jaminan kerajaan yang lebih menyeluruh bagi membantu golongan muda mendapatkan pembiayaan perumahan.
“Bank Negara, institusi kewangan dan AKPK juga perlu menilai semula mekanisme kelayakan pinjaman bagi graduan dan pekerja muda.
“Penilaian risiko perlu kekal berhemah, namun tidak wajar sehingga menutup peluang mereka membina aset pertama ketika usia paling produktif,” katanya.
Saifuddin berkata ukuran kejayaan agenda Bumiputera pada masa depan tidak seharusnya hanya dilihat berdasarkan jumlah program, seminar atau peruntukan yang diumumkan setiap tahun, sebaliknya turut diukur melalui jumlah anak muda Bumiputera yang berjaya memiliki rumah pertama sebelum usia 35 tahun.
“Rumah bukan hanya tempat berteduh, lebih daripada itu ia adalah aset keluarga, instrumen keyakinan diri serta bentuk keterjaminan antara generasi.
“Kerajaan juga perlu memastikan rumah mampu milik, unit Rizab Bumiputera, Rumah Selangorku, Program Perumahan Rakyat (PPR) dan skim perumahan awam lain benar-benar menjadi laluan kepada pemilikan kekal, bukannya sekadar penyelesaian sementara,” katanya.
Beliau berkata aset strategik berkenaan perlu terus dipelihara supaya manfaatnya dapat diwarisi generasi Bumiputera akan datang, bukan berakhir sebagai penyelesaian jangka pendek kepada masalah perumahan.
“Belanjawan 2027 diharap menjadi titik perubahan daripada agenda bantuan kepada agenda pemilikan aset.
“Generasi muda Bumiputera tidak mahu menjadi generasi penyewa. Mereka mahu kerajaan merealisasikan peluang mereka menjadi generasi pemilik,” katanya. -MalayaDailyToday























































