KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan tiada Pilihan Raya Kecil (PRK) akan dijalankan bagi kerusi Parlimen Petaling Jaya susulan peletakan jawatan penyandangnya, Lee Chean Chung pada Jumaat lalu.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, pihaknya menerima pemakluman daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr. Johari Abdul melalui surat bertarikh 2 Oktober 2026 berhubung status kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Petaling Jaya selepas diisytiharkan kosong di bawah Perkara 51 Perlembagaan Persekutuan.
“Berdasarkan kepada Perkara 54 (1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah memaklumkan kepada SPR bahawa tiada keperluan bagi mengisi kekosongan luar jangka tersebut.
“Selaras dengan itu, tiada PRK Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.105 Petaling Jaya akan dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook SPR.
Media sebelum ini melaporkan Chean Chung mengumumkan peletakan jawatan sebagai wakil rakyat tanpa syarat, berkuat kuasa Jumaat lalu, selain mengisytiharkan keluar daripada PKR.
Beliau yang memenangi kerusi Parlimen Petaling Jaya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dilaporkan berkata, surat peletakan jawatannya sudah diserahkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Keputusan itu dibuat selepas beliau menerima surat daripada PKR pada Rabu lalu yang memaklumkan keahliannya dalam parti digantung selama tiga tahun.
Terdahulu, pemimpin Parti Bersama Malaysia (BERSAMA), Datuk Seri Rafizi Ramli mengesahkan Chean Chung sudah menghantar boring untuk menyertai partinya hari ini.-MalayaDailyToday




















































