KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pihak berkuasa menjalankan siasatan segera berhubung insiden kematian seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah di Yong Peng, Batu Pahat, Johor.
Perdana Menteri berkata, siasatan itu perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan telus bagi mengenal pasti punca kejadian.
Malah, Anwar menegaskan sekiranya terdapat unsur jenayah, tindakan tegas hendaklah diambil mengikut undang-undang.
Dalam satu hantaran dimuat naik di akaun media sosial rasminya, Anwar turut menzahirkan rasa amat berdukacita atas tragedi yang menimpa mangsa, Allahyarhamah Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal.
“Takziah kepada keluarga dan waris Allahyarhamah, moga mereka diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian yang amat berat ini.
“Saya telah meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan segera, menyeluruh dan telus bagi mengenal pasti punca serta apa yang sebenarnya berlaku.
“Keselamatan anak-anak kita adalah tanggungjawab bersama. Kerajaan tidak akan berkompromi dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan mereka sentiasa terpelihara,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan seorang pelajar perempuan tingkatan empat ditemui maut dipercayai dibunuh di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Batu Pahat, semalam.
Irene Sofiya ditemui neneknya yang datang ke sekolah berkenaan selepas menyedari cucunya tidak pulang ke rumah kira-kira 5.30 petang.
Susulan itu, tiga pelajar lelaki berusia 16 tahun yang dipercayai ada kaitan kes berkenaan ditahan beberapa jam selepas mayat pelajar perempuan itu ditemui.
Laporan media mendakwa seorang daripada pelajar terbabit dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat, pagi ini untuk direman bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan. -MalayaDailyToday





















































