PARIS – Negara anggota Kumpulan Tujuh (G7) bersetuju untuk mengeluarkan 100 juta tong minyak dan diesel daripada rizab kecemasan bagi meredakan krisis bekalan yang memicu lonjakan harga bahan api global.
Persetujuan itu dicapai selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump meningkatkan tekanan terhadap negara anggota G7 untuk menambah bekalan tenaga di pasaran.
Pemimpin G7 menerusi kenyataan turut menegaskan komitmen untuk membuat pelepasan bekalan diesel dalam kuantiti yang banyak dalam tempoh 20 hari, selain sedia mempertimbangkan pengeluaran tambahan jika diperlukan.
Kumpulan negara maju itu termasuk AS mengesahkan langkah pelepasan bekalan itu berkuat kuasa serta-merta dan akan berterusan selama empat bulan.
Kenyataan itu menegaskan tiada `sekatan eksport ke atas produk tenaga’ akan dikenakan dalam kalangan negara anggota G7 sepanjang tempoh pelaksanaan terbabit.
Kumpulan G7 dianggotai AS, United Kingdom (UK), Kanada, Jepun, Jerman, Itali dan Perancis, selain turut menampilkan Kesatuan Eropah (EU) dalam mesyuaratnya.
Dalam pada itu, Presiden Perancis, Emmanuel Macron berkata, hasil pertemuan pemimpin G7 menyaksikan kesepakatan untuk mengeluarkan rizab sehingga 100 juta tong minyak dalam tempoh empat bulan menerusi penyelarasan Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA).
Menurut Macron, langkah bersama itu bakal `menurunkan harga produk petroleum, terutamanya diesel’.
Setakat ini, butiran mengenai negara anggota yang bakal melepaskan rizab simpanan serta garis masa pelaksanaannya masih belum diumumkan secara terperinci.
Dilaporkan, pelepasan 100 juta tong itu bakal merangkumi bekalan diesel dan minyak mentah.
Sebelum ini, Trump pernah memberi amaran untuk menyekat eksport diesel AS sekiranya negara-negara Eropah tidak bersetuju menyalurkan lebih banyak rizab bekalan minyak ke pasaran.
Larangan eksport dikenakan Washington berpotensi mengurangkan bekalan diesel ke Eropah dengan ketara, memandangkan blok itu kini semakin bergantung kepada bekalan dari AS.
Keadaan itu juga dikhuatiri meningkatkan kos ekonomi yang perlu ditanggung EU sekiranya bekalan diesel global terjejas.
Sementara itu, Trump memberitahu pemberita di White House bahawa AS tidak akan mengenakan larangan eksport diesel.
Beliau berkata, rancangan itu sebenarnya tidak pernah benar-benar dipertimbangkan, meskipun dalam tempoh dua minggu lalu beliau beberapa kali menyatakan larangan berkenaan sedang dipertimbangkan dan menyokong cadangan itu.
Trump berkata, Eropah mempunyai bekalan diesel yang banyak dan akan memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada bekalan tenaga global, begitu juga AS.
“Eropah mempunyai banyak diesel dan mereka akan memberikan sumbangan besar kepada dunia, begitu juga kita.
“Kita tidak akan mengenakan larangan eksport. Kita akan melakukan apa yang sepatutnya kita lakukan,” katanya.-MalayaDailyToday





















































