ISLAMABAD – Pakistan meningkatkan eksport beras ke Malaysia hasil usaha diplomatik dan komersial berterusan selaras dengan arahan Perdana Menteri, Shehbaz Sharif.
Menerusi kerjasama perdagangan ini, Malaysia bakal menerima tambahan 70,000 tan metrik beras dari Pakistan bermula Oktober hingga Disember tahun ini.
Pejabat Perdana Menteri Pakistan dalam satu kenyataan memaklumkan Shehbaz merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan terlibat atas kejayaan meningkatkan eksport beras ke Malaysia.
Shehbaz menyifatkan eksport tambahan 70,000 tan metrik beras Pakistan itu sebagai satu perkembangan penting bagi meningkatkan kesejahteraan petani dan merancakkan ekonomi negara.
Beliau menegaskan usaha membuka serta meluaskan akses komoditi pertanian Pakistan ke pasaran antarabangsa kekal menjadi keutamaan tertinggi kerajaan.
Tambahnya, Pakistan komited untuk meneruskan langkah mencapai pertumbuhan ekonomi berteraskan eksport menerusi pelbagai usaha yang berkesan.
Pakistan, yang merupakan pengeluar utama beras basmati premium beraroma ekstra panjang, mengenal pasti Malaysia berpotensi menjadi pasaran utama bagi pertumbuhan perdagangan komoditi.
Sebelum ini, Kementerian Keterjaminan Makanan dan Penyelidikan Kebangsaan Pakistan menerusi kenyataan memaklumkan satu delegasi dianggotai setiausaha kementeriannya, Amer Ali Ahmed; Setiausaha Kementerian Perdagangan, Jawad Paul serta wakil Persatuan Pengeksport Beras Pakistan (REAP) mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Isham Ishak, eksekutif tertinggi Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) dan Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee semasa menghadiri Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pertemuan berkenaan menumpukan kepada usaha memperkasakan eksport beras, standard pensijilan halal, serta kerjasama dua hala dalam keterjaminan makanan.-MalayaDailyToday





















































