KUALA LUMPUR – Rapid KL telah membuat penambahbaikan terhadap aturan lokasi mengambil dan menurunkan pengunjung yang menyaksikan perlumbaan Formula 1 Grand Prix Bahrain.
Rapid KL memaklumkan penambahbaikan itu dilaksanakan dengan kerjasama antara pihak Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan agensi berkaitan susulan aduan diterima pada hari pertama Formula 1 Grand Prix Bahrain semalam.
Menurut Rapid KL, penambahbaikan itu sudah dilaksanakan bermula hari ini bagi memastikan pergerakan bas perantara lebih lancar dan teratur.
“Setakat pukul 11 pagi tadi, aliran trafik serta pergerakan penumpang berada dalam keadaan lancar dan terkawal.
“Rapid KL akan terus memantau situasi bersama pihak SIC dan agensi berkaitan bagi memastikan kelancaran pergerakan penumpang serta pengalaman F1 yang lebih baik kepada semua,” katanya dalam kenyataan dimuat naik di Facebook.
Jelas Rapid KL, perkhidmatan bas perantara sebelum ini dilaksanakan mengikut perancangan dan aturan operasi yang dipersetujui bersama pihak penganjur.
“Bagaimanapun, susulan maklum balas yang diterima, penambahbaikan dilakukan bagi memastikan kelancaran pergerakan penumpang sepanjang acara berlangsung,” katanya.
Rapid KL memaklumkan operasi bas perantara meliputi aspek pengendalian dan pergerakan bas serta penumpang mengikut aturan yang ditetapkan.
“Manakala penyelarasan trafik keseluruhan ke dan dari SIC serta pengurusan aliran kenderaan di kawasan mengambil dan menurunkan penumpang adalah diselaraskan bersama pihak penganjur serta agensi berkaitan.
“Rapid KL menghargai kesabaran, kerjasama dan maklum balas yang diberikan penumpang dalam usaha menambah baik pengalaman perjalanan sepanjang acara F1 berlangsung,” jelasnya.
Semalam, media melaporkan pengunjung hari pertama acara Grand Prix Bahrain di SIC, merungut terpaksa beratur berjam-jam untuk menaiki bas perantara khas percuma ketika mahu pulang selepas menonton perlumbaan Formula Satu itu.
Malah, orang ramai terpaksa berjalan kaki keluar dari SIC ekoran bas perantara tidak mencukupi untuk menghantar mereka ke tempat meletak kenderaan di beberapa destinasi ditetapkan penganjur. -MalayaDailyToday























































