KUALA LUMPUR – Sesi persekolahan tahun 2027 bagi sekolah kebangsaan dan sekolah bantuan kerajaan akan bermula pada 4 Januari tahun depan bagi negeri Kumpulan A dan Kumpulan B.
Perkara itu diumumkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook.
Menurut kementerian, sesi persekolahan bagi negeri Kumpulan A akan berlangsung dari 4 Januari hingga 2 Disember 2027 manakala Kumpulan B dari 4 Januari hingga 3 Disember 2027.
Kumpulan A melibatkan sekolah di negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu manakala Kumpulan B membabitkan Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Kementerian turut menyelaraskan tarikh cuti perayaan sepanjang tempoh sesi persekolahan tahun 2027 yang melibatkan Hari Raya Puasa, Tahun Baharu Cina, Hari Deepavali, Hari Raya Korban, Pesta Kaamatan, Hari Gawai Dayak, Hari Wesak dan Hari Krismas.
“Semua sekolah hendaklah mematuhi peruntukan cuti tambahan oleh KPM sempena perayaan utama bagi sambutan Hari Raya Puasa, Tahun Baharu Cina, Hari Raya Korban, Hari Wesak dan Hari Deepavali.
“Peruntukan cuti tambahan berkenaan tidak perlu diganti,” jelas kenyataan itu.
Dalam pada itu, KPM juga menetapkan tarikh sesi persekolahan tahun 2028 akan bermula pada 3 Januari 2028 bagi Kumpulan A dan Kumpulan B.
Katanya, langkah penyeragaman itu bertujuan memastikan keselarasan pembukaan sesi persekolahan tahun 2028 di seluruh negara.
“Langkah itu juga memudahkan perancangan pentadbiran sekolah serta pelaksanaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang lebih teratur dan efektif,” jelas kenyataan.-MalayaDailyToday
























































