KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti penyebaran kandungan di media sosial yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk memanipulasi rakaman detik duka bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad susulan pemergian isterinya, Allahyarhamah Tun Dr. Hasmah Mohd Ali.
MCMC menerusi satu kenyataan memaklumkan pihaknya memandang serius penyalahgunaan teknologi AI bagi memanipulasi rakaman berkenaan.
Kata MCMC, penggunaan teknologi untuk memanipulasi rakaman sebenar sehingga berpotensi mengelirukan orang ramai, mengubah konteks sesuatu kejadian serta menjejaskan maruah individu dan keluarga tidak wajar dipandang ringan.
Menurutnya, perkara itu lebih membimbangkan apabila melibatkan detik kehilangan dan kedukaan seseorang.
“MCMC telah berhubung dengan platform media sosial berkaitan dan sedang meneliti kandungan tersebut.
“Sekiranya hasil penelitian mendapati adanya pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya boleh diambil berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588),” katanya dalam satu kenyataan.
MCMC turut mengingatkan semua pihak supaya tidak menghasilkan, memuat naik atau menyebarkan kandungan yang dimanipulasi sehingga boleh mengelirukan orang ramai atau menjejaskan pihak lain.
Katanya, orang ramai juga digalakkan menyemak kesahihan sesuatu kandungan sebelum berkongsi selain melaporkan kandungan yang disyaki telah dimanipulasi kepada platform atau pihak berkuasa berkaitan.
“Walaupun kemajuan AI membuka banyak manfaat kepada masyarakat, penggunaannya perlu disertai tanggungjawab.
“Teknologi tidak seharusnya digunakan untuk memutarbelitkan kebenaran atau mengeksploitasi kesedihan seseorang sehingga mengorbankan maruah dan nilai kemanusiaan,” jelas kenyataan itu.-MalayaDailyToday























































