KUALA LUMPUR – Seorang daripada 55 rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang susulan kejadian banjir dan tanah runtuh di Nepal, disahkan selamat dan sudah pulang ke Malaysia.
Menurut jurucakap Malaysia Solidarity: Families in Hope (MASFIH), Dr Manivannan Rethinam, perkara itu dimaklumkan oleh Kementerian Luar melalui kumpulan WhatsApp waris terdekat hari ini.
Jelas beliau, individu berkenaan hadir sendiri ke Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu semalam sebelum berlepas pulang dan selamat tiba di tanah air pada pagi tadi.
“Individu itu sudah kembali ke Malaysia pagi ini dan kini bersama keluarganya. Satu keluarga akhirnya menerima semula insan yang mereka sayangi.
“Bagi MASFIH dan keluarga, penemuan seorang rakyat Malaysia yang selamat pada hari ke-37 adalah satu perkembangan yang amat melegakan dan sangat bermakna.
“Setelah 37 hari berada dalam ketidakpastian, sebuah keluarga akhirnya menerima semula insan yang mereka sayangi. Kegembiraan keluarga ini turut dirasai oleh semua keluarga lain yang masih menunggu,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Manivannan berkata, individu terbabit merupakan rakyat Malaysia berketurunan Cina dan antara pelancong solo yang sebelum ini dilaporkan hilang.
Beliau berkata, individu berkenaan melakukan perjalanan secara bersendirian dan satu-satunya pengembara solo yang kini disahkan selamat daripada senarai asal 55 rakyat Malaysia.
Kata beliau, pihaknya dimaklumkan oleh waris dan keluarga bahawa individu tersebut berada di Nagthali Viewpoint pukul 3.26 petang pada 25 Ogos, sehari sebelum kejadian banjir dan tanah runtuh.
“Menurut maklumat disampaikan oleh waris, dia kemudiannya terkandas untuk suatu tempoh berikutan kemusnahan jalan dan jambatan, di samping ketiadaan bekalan elektrik, air dan akses internet yang menyukarkan pergerakan serta komunikasi.
“Beliau akhirnya berjaya bergerak dan hadir sendiri ke Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu pada 1 Oktober sebelum kembali ke Malaysia pada pagi ini,” katanya.
Manivannan berkata, perkembangan itu memberikan gambaran penting bahawa seseorang berkemungkinan berada dalam keadaan selamat, namun pada masa sama terputus komunikasi dan terkandas untuk tempoh panjang apabila jalan, jambatan, bekalan asas dan kemudahan komunikasi terjejas akibat bencana.
Tambah Manivannan, baki 54 rakyat Malaysia masih belum dapat dihubungi dengan kesemua mereka melakukan perjalanan dalam beberapa kumpulan yang berasingan.
Katanya, perkembangan itu bukan sekadar perubahan angka daripada 55 kepada 54, namun mengenai sebuah keluarga yang akhirnya bertemu semula dengan insan yang mereka sayangi selepas 37 hari berada dalam ketidakpastian.
“Kami berharap kepulangan itu akan memberi sinar harapan kepada 54 keluarga yang lain, yang mana insan mereka sayangi juga mungkin masih berada di luar sana dan suatu hari nanti dapat kembali kepada mereka,” katanya.-MalayaDailyToday























































